Friday, April 01, 2005

Projek Maya: Le Monde Bleu

Chapitre 5: Kacipan Angin Rahsia

“Jadi adalah satu pelanggan ni telefon agensi tu lepas ambil salah seorang perempuan yang ada. Dia telefon untuk cakap betapa bestnya perempuan yang dia ambil tu and what a good time he had; awek tu stay dengan dia seminggu. Walau macam manapun, dia cakap dia dah jumpa satu agensi lain kat online dan awek-awek dia tentulah lagi mari. Dia pun tempah yang ‘in-call’; maknanya, dia siap datang rumah awek tulah. Sampai sana, ketuk pintu, dibagi masuk dan... pap, kat keliling dia ada tiga mamat badan besar bagi dia dua pilihan: Nak belasah ke atau nak kasi duit. Dia pun bagi ajelah duitnya. Dia tu sheikh Arab, ada berjuta duit dia kat bank dan benda bodoh macam ni memang langsung takde apa bagi dialah; buang masa je.”

“Benda ni biasa jadi ke?” tanya aku kepada Addi yang bertutur lantang tadi. Keadaan tandus studio membuatkan nadanya lebih mendedau dari lazim.

“Bukanlah benda biasa tapi ada jadi jugaklah. Bisnes ni banyak pakai duit dan menatang ni adalah salah satu cara untuk cekup orang yang ada banyak duit jumpa kau kat tempat yang kau sendiri pilih.” Tangan Addi masih terus menguntil setiap ruang kanvas. Matanya juga tepat ke arah yang satu dengan raut tenang. Bani yang turut girang mendengar kisah tersebut tidak sempat mematikan konsol Universal Media Player yang terletak di sisi; hanya volume ia sahaja diturun mendadak.

“Kebanyakan agensi biasanya tak guna gambar awek-awek yang betul macam agensi sorang kawan aku ni join. Jadi, memang banyaklah pelanggan dia sound, ‘Oh, you’re real,’ bila setiap kali pintu dibukak,” sambung Addi.

“Kiranya, the scam works the other way too, kan?” Bani pula mencelah dengan sekalian jari kiri tekun mengusap setiap pastel; menimbal kebaikan fizikal lilin warna tersebut. “Kalau aku call dan mintak sorang perempuan datang dan jumpa aku kat memana punya alamat aku bagi, tentulah dia datang kan? Jadi, what’s to stop me robbing her?”

Addi melepaskan bahak yang menulikan seolah-olah Bani adalah seorang maksum meminta double whiskey di sebuah kelab pinggir bandar. “Dude, mesti kau tak pernah pakai escort service kan?” Kepala Addi bergilir-gilir memandang Bani dan aku yang masih kaku berteleku di kerusi. Barangkali Addi juga sedar aku dalam keruan yang samar.

“Mana boleh kau just call dan mintak awek, bai?! Contohnya macam kau call dan bagi sekali alamat, memana agensi sekalipun takkan hantar memana perempuan. Benda ni bukan prostitution, okey? It’s escorting; ada perbezaan fundamental kat situ.”

“Penting hal ni,” ujar Addi lagi. “Orang ingat escort ni sama dengan prostitution dan kotor padahal sebenarnya gila-gila punya lain. Kalau sorang awek tu lepak dengan pelanggan dia seminggu, awek tu akan lepak misalannya kat Istana. Tetiap malam, diorang akan pergi makan kat Eden Village. Ini contoh jelah.” Tumpuan Addi kembali disasar ke kanvas yang kian comot.

“Tapi dude, kalau awek tu kasi pelanggannya pegang-pegang badan; raba-raba bontot, tu kira salah jugaklah kan? Takyah fikir agamalah, ni kita cerita bab logik jelah,” soal Bani seakan cuba mencipta situasi kusut. Lakaran Bani ternoktah seketika. Dia toleh ke arah Bani yang masih setia menanti sebuah jawapan.

“Kalau gitu, itu bukan escort; itu belaan namanya!” Addi merengus lalu kembali memutar catan berus dengan keras pada karyanya. Bani mengukir senyuman malas lalu kembali meninggikan pekikan suara konsolnya itu. Dia sempat mendesis ke arah aku dengan tangan kanan mengatup sebahagian besar sisi bibir, “Saja je bakar, kasi dia marah. Bila dah marah macam ni, teringat Ivannalah tu!”

Serentak dengan anggukan aku, Bani memulakan gambaran imaginasinya. Sudah tiga minggu Addi menyertai Kelas Creative Fundamentals tersebut dan pabila setiap kali kelas tersebut berlangsung tanpa tenaga pengajar dan sebahagian besar thoolib seperti ini, aku akan duduk menganggur bersama. Begitu jua Bani yang hanya ke sini sekali-sekala untuk menyerodi bakatnya yang tidak pernah wujud. Hakikatnya, niat dia juga seperti aku; hanya ingin menemani suatu makhluk bernama teman.

“Siapa tu?” soal aku setelah melihat catan Addi kian membentuk sesuatu. Lamunan dia yang meliar di kanvas mati serta-merta.


“Apa benda?” Kerutan terlukis beribu di kening.

“Kau lukis tu muka siapa?”

“Muka siapa apa bendanya? Ni landskaplah! Ni pokok, ni bukit, ni kononnya jalan yang membawak ke..." lidah Addi terkelu setagal. Matanya menyeluruhi kanvas. "Hmm, yelah! Macam ada rupa muka orang sikitlah!”

“Itulah, nampak macam muka orang je!”

“Yeah, muka siapa kau nampak? Muka Ivanna?”

“Tak, muka arwah Sarah.”

Keadaan di studio sekonyong-konyongnya bagai dilanggar jutaan karura. Genggaman Addi yang memaut berus sejak tadi terlentok ke pinggang. Mata tepat kepadaku. Bani yang hibuk dibalut alunan muzik turut sama mengubah haluan fikiran. Wajah aku meriakkan pandangan lurus; tidak menyesal dengan kenyataan yang disebut tadi. Addi kemudian melepaskan berus di palet. Kain yang terletak di sisi diraup kemas untuk mengelap tangan yang bersisa warna.

Bani mematikan semula konsol muziknya, berlari ke lukisan Addi dan meneliti setiap inci warna yang disimbah. Seketika, kepalanya berpaling ke arahku.

“Kau ni gila ke, Wanie? Apa yang sama dengan arwah Sarah?” soal Bani. Addi masih memilih jalan untuk mendiami daerah sunyi.

Aku bangkit dari dudukku lalu berjalan ke kanvas Addi. Senyuman tawar hanya kemas menghiasi bibir.

“Entahlah, mungkin aku just teringat kat dia kot? Teringat kat satu kata-kata dia ni,” ujarku seraya mengambil berus Addi tadi. “Kata-kata dia yang berbunyi, ‘kita berempat ni memang rapat, yet kita tak kenal sesiapa pun!’ Masa tu aku ingat dia cakap merepek je sebab tengah high tapi rupanya ada betul jugak.”

Aku mencelup warna hijau di palet lalu mereciknya ke lukisan Addi. Masing-masing disulam sunyi.

“Aku tak faham dengan kaulah, Addi. Aku tak tahu macam mana kau boleh suka kat sesuatu atau seseorang yang memang nyata berada kat tempat yang salah.” Berus di tangan mula melakukan tarian warna perasaan aku yang kacau.

“Hmm, aku tak tahulah macam mana aku boleh berani tanya kau macam ni depan-depan Bani semua. Dulu aku tak macam ni masa sekolah menengah. Aku ni kiranya tak berani dan takut bila tiba bab buat keputusan nekad. Masa nak masuk tingkatan empat dulu, fikiran aku terbelah dua sama ada nak masuk aliran Sastera ke Sains. Last sekali, aku pilih Sains. Aku tak menyesal tapi tak boleh nafikanlah aku minat Sastera jugak. Kat kolej, aku kenal Sarah yang ajar aku banyak benda pasal jadi yakin. Jadi, sebab tulah aku buat keputusan untuk jadi berani sekarang; tahu buat keputusan sendiri. Contohnya, macam bab minat penulisan tulah dan... berdepan dengan kau macam ni!”

Tanpa sedar jadinya, sekalian wajah aku telah dipenuhi oleh manik-manik kaca amarah yang mengalir dari gigi mata. Aku melepaskan berus Addi di meja lalu menyentak beg yang terbiar di lantai sejak tadi.

“Chow dulu,” kataku lalu beransur pergi. Keadaan tiada lain hanya dikemam ketandusan 1000 tahun.

* * * *

Aku hanya tiba di kolej menjelang tengahari, menghadiri kelas kedua untuk hari tersebut. Suasana seperti biasa; membosankan namun selang beberapa minit berteleku di dewan kuliyyah yang masih tandus, Bani memberi kejutan di sebelah,

“Wei, mana kau pergi pagi tadi?” menyoal dengan sedikit rengus. “Wanie cari kau.”

Meskipun diri hampir diragut lelap, kesegaran lantas kembali bagi memberi sepenuh perhatian terhadap nama yang disebut; lebih-lebih lagi setelah berlaku peristiwa semalam.

“Mana dia?” tanyaku bersungguh-sungguh.

“Wanie?” Bani bertakat-takat. “Entah, dekat kantin kot?”

“Okey, thanks,” aku bangkit, menjinjing beg dan terus berlalu meninggalkan Bani terpinga-pinga di sisi meja.

“Apasal ni?” soalku sebaik sahaja menemui Wanie di kantin; tanpa perlu membuka bicara dengan salam.


Tanpa sebarang kata, majalah Listrik yang sudah terkuak buka pada mukasurat 24 dihulur kepadaku. Terhidang sebuah artikel bertajuk ‘Muzik – Bila Ia Bermula Di Malaysia?’ hasil buah tangan penulis bernama Mimi Razali.

“Penulis ni dulu selalu hantar surat dekat aku, cerita pasal minat dia dalam penulisan, lepas artikel aku yang pertama keluar,” Wanie memerai tuturan. “Aku banyak jugak beri galakan dekat dia supaya hantar apa-apa je karangan dekat Listrik. Tapi dalam dua isu terakhir ni; artikel dia berturut-turut keluar. Dan penulisan dia... memang dahsyatlah.”

Aku membisu. Senyum tawar mirip semalam terukir di bibirnya.

“Apa yang aku patut buat?” soal Wanie yang menyimpan seribu harapan di sebalik raut melankolik tersebut. “Dia mesti akan datang jugak untuk temu duga tu nanti.”

Bersambung...

Comments on "Projek Maya: Le Monde Bleu"

 

post a comment
>><$BlogItemCommentCount$> comments <$BlogItemControl$>

Comments on "<$BlogItemTitle$>"

 

<$BlogCommentAuthor$> said ... (<$BlogCommentDateTime$>) :<$BlogCommentDeleteIcon$>

<$BlogCommentBody$>

 

title="post a comment on '<$BlogItemTitle$>'">post a comment