E-mel
pojokmaya (at) gmail (dot) com

Powered by Blogger

Thursday, March 24, 2005

Projek Maya: Le Monde Bleu

Chapitre 1: Jiwa Yang Gelandangan

Kira-kira 15 billion tahun dahulu, bumi tercipta. Tempoh planet ketiga dari matahari ini berorbital adalah lebih kurang 365.26 hari. Berdiameter 12 756 km dengan kejauhan 149 600 000 km dari permukaan matahari itu sendiri.

Di bumi, setiap hari, pelbagai perihal berlaku: baik-buruk, gembira-sedih, putih-hitam; hidup-mati. Tapi pedulikan, bukan segalanya itu terdapat kaitan denganku. Cuma yang pasti, perubahan besar akan berlaku kelak di Kolej Milieu, Kajang. Dalam tempoh terdekat ini.

Dewan kuliyyah tempatku belajar akan menyaksikan pengaliran waktu. Memerhati sunyi pertemuan yang berlaku di sini. Dinding-dinding konkrit pengutuh bangunan pun akan menjadi penonton sebuah usaian cinta. Berusia pendek bagaikan bunga yang kembang sepekan.

Tunggal di situ kesemuanya berdiri. Mencatat segenap memori manusia yang terurai layu. Kini, ‘mereka’ hanya mengamati. Kerana detik-detik kirana yang bakal terjadi, bermula sekarang ini.

Di kuliyyah pagi Isnin, tiada apa istimewa boleh disampaikan. Teman-teman lebih banyak mengurung diri diam. Hanya pensyarah – Professor Sani yang beringan kata di hadapan, berdatarkan penerangan di papan putih. Sememangnya, situasi ini cukup bingung walau terlazim! Barangkali kisah aku sudah berputus kasih dengan Ivanna masih lagi mengacau semua. Lagi-lagi yang mengenali rapat. Aku pun, tiada pengecualian. Masih dihantui, jelas! Alasannya mudah, semua berlaku dengan pantas dan masih segar. Lantaran itu, tak hairanlah jika anak mataku hanya menangkap rias Ivanna yang berteleku di hujung dewan, jauh memerangkap berpuluh meter. Wajahnya tenang sahaja. Bagaikan tiada penyesalan terhadap apa yang dia puncakan. Sesekali, tragedi yang berlaku pada minggu lepas itu, datang berbondong-berbondong ke minda.

“Kamu dengar tak apa yang saya cakap tadi?!” suara parau professor menoktahkan lamunan. Mata tanpa disuruh terus diselenggarakan ke hadapan semula. Gusar, kalau-kalau ayat tersebut ditujukan pada diri sendiri.

“Wanie?” masih sunyi.

“Cik Wanie!!!” Mata kini tertumpu pada baris ketiga di tengah dewan. Susuk tubuh seorang gadis sedang dibuai lelap menghiasi segenap pandangan individu.

Setelah digamit teman sebelah, Wanie tersedar. Wajah sembab di angkat perlahan tanpa beban. Di tangan, tergenggam sebatang pen di alas beberapa helaian kertas. Rambut yang pendek namun berjurai-jurai barangkali menutup sedikit kebiadapan itu lantaran sedang menuntut ilmu kini.

“Kamu tidur ye?” soal Professor Sani kemas.

“Saya tengah menulis. Lepas tu, tertidur pulak. Bosan gilalah kelas ni prof! Apa yang prof expect?” Wanie akhirnya memerai kata. Malas nadanya. Badannya masih membongkok ke meja.

“Tak kisahlah bosan ke tak! Tapi kalau kamu nak tidur, itu…,” seraya menunjukkan arah keluar. “Awak boleh tidur dekat situ! Jangan masuk dewan ni. Tak payahlah kamu…!”

“Eh, kejap! Kejap!” Wanie memotong kata seraya menayangkan isyarat tangan kepada Prof. Sani supaya berhenti dari terus bersuara. Sunyi. “Haaa, baru teringat balik apa yang nak ditulis sebelum terlelap tadi.” Dia kembali menulis. Mengendahkan tekanan suasana.

Perasan marah yang agam mula berlari di segenap wajah Professor Sani yang tersedia panas baran perlihatkan pelajarnya yang bersikap ambil mudah. Lantas, dia berlalu ke tempat Wanie. Direntap langsung helaian kertas yang ditulis lalu meragut pen yang terselit di celah jari. Yang lain-lain, hanya mengambil tempat sebagai saksi. Wanie kaget mengkaku. Kesempatan itu, diambil Professor Sani untuk terus melangkah kaki keluar, sejurus selepas menjinjing buku dan nota-notanya dari meja. Sebelum menolak daun pintu, sempat dia memberi ingatan,

“Minggu depan, hari Rabu, saya nak tengok assignment yang saya bagi tadi; dah tersusun di meja saya! Ingat! Dan Wanie, barang kamu ni, saya pegang dulu! Kalau nak menulis ke apa, pergilah ambil subjek sastera. Bukan komputer sains, tahu?!” dan terus, dia berlepas pantas. Meninggalkan kami dan Wanie terpinga-pinga, masih.

Dewan menghening setagal. Seketika kemudian, kejutan Wanie mendadak bertukar amarah. Mukanya pula membuak merah. Tumbukan keras dilepaskan pada meja lantas membuka langkah seribu sehingga ke luar dewan. Dengan dedauan, terdengar dia melempar maki kepada yang berkenaan – Professor Sani yang sudah pun menjauh. Di dalam, pelajar-pelajar mula mendesas di gegendang masing-masing. Umpat lagi mengeji. Hampir kesemua kecuali aku dan segelintir lagi yang lebih banyak memerhati.

“Aku cakap kaulah, Addi. Nama aku nak cari awek macam tu, sorrylah!” Bani bersuara di sebelah. Sekonyong-konyong. Pandangan hanya terbiar di kaki pintu keluar.

“Kalaulah ada memana jin di dunia ni yang hilang saudara kembar, rasanya; aku tahu mana seorang lagi tu terlepas. Heh!”

Aku hanya mengelukan lidah, dan terus mengamati – dalam-dalam.

Tengahari. Sewaktu bersantai rehat menanti kelas java, tanpa sedar jadinya, hari-hari lepas bersama Ivanna datang menyinggah. Keseorangan di sudut asing kajian barangkali memberi galakan. Semuanya tiada langsung kabur: sewaktu kali pertama berteguran pada hari pertama semester satu; kemudian, kepada persahabatan yang terjalin rapat; dan sewaktu dia meminta sebuah harapan cinta sehinggalah kepada perputusan kami minggu lepas.
Urgh, sungguh memeritkan! Lagi-lagi ketika dia menyatakan alasan. “Awak tidak memahami saya,” ujarnya tanpa sebarang sekatan. Bagaimana dengan rasa kasih kepadanya yang kian menebal ini? Bagaimana dengan semua perubahan pada diri yang aku buat semata-mata untuknya? Pendek kata, bagaimana dengan diriku ini? Buang begitu sahaja? Bagaimana? Sedangkan jauh di sudut hati, aku masih ingin meluahkan rasa cinta. Siapa yang sebenarnya tidak memahami? Dia atau aku?

Dang! Dang! Dang! Persoalan di minda ternoktah perdengar barisan bunyi hentakan. Jauh beberapa meter dari sudut pandangan sebelah kiri kelihatan sebentuk tubuh perempuan sedang menumbuk-numbuk pada butang nombor telefon awam yang terpaku keras di dinding.

“Menyirap betullah!” herdiknya.

“Ei, Wanie! Apahal ni?” aku menghampirinya. Meski tersedar, dia masih menerus kegiatannya. Langkahku mati pabila tiba di sebelah.

“Benda tapir nilah, tersekat jadinya kad telefon aku ni hah! Tak boleh nak keluarkan!” ujarnya keras. Mata masih terpaku ke depan bersama kening berkerut-kerut. Tangan tidak berganjak lagi menumbuk. Perlahan-lahan, kepalanya ditunduk ke bawah.

“Hari ni memang betul-betul suweylah, Addi,” luahnya. Aku melemparkan pandangan kepada telefon awam tersebut lalu menarik kad dari lubang yang ditempatkan.

Zap! Terlepas. Langsung tiada masalah. Elok dan mudah sahaja ia dikeluarkan. Aku dan Wanie hanya terkebil-kebil perlihatkan situasi ganjil ini.

“Temu duga?” tanyaku bersama keratan iklan di tangan. Kami berdua hanya berlabuh punggung di sebelah vending machine. Bersila di atas lantai. Pandangan tajam orang yang berlalu-lalang tidak diambil pusing.

“Kau tahu majalah grafik ni: Listrik? Tahu?” tanya Wanie.

“Emm…,” teragak-agak. “Pernah dengar tapi tak pernah baca pulak.”

“Yelah, majalah tu mungkin tak popular sangat sebab dia lebih kurang majalah komik untuk golongan dewasa; ada ketengahkan bab-bab politik, sosial dan agama semua. Tapi still, dia ada followernya jugak di kalangan remaja ni,” terang Wanie bersungguh-sungguh. Aku di sebelah cuba memahami setiap butir katanya.

“Aku memang minat gila dengan majalah tu,” jelasnya, mempamerkan riak ceria ketika bercerita. “Aku pernah hantar sekali artikel mengenai sejarah S.H.A.R.P., editornya suka gila, jadi dia pun keluarkanlah! Entah macamana, baru-baru ni diorang nak pakai penulis sepenuh masa pulak…,”

“Jadi, kau nak cuba?” tanyaku, persoal kemungkinan yang sudah tersedia tahu.

“Mestilah!” jawabnya tanpa ragu-ragu.

Aku hanya tersenyum dan terus mengamati dalam-dalam.

“Aku harap kau dapatlah nanti.”

“Jangan risaulah, mesti dapat punya!” katanya penuh semangat.

Kami berdua dirundung sepi sebelum aku menyambung, “Kau ni memang sorang yang yakin. Susah nak cari perempuan macam kau.”

Dia tertawa setagal. Tiba-tiba wajahnya berubah bagaikan terdetik sesuatu di minda.

“Malam ni, kau free tak, Addi? Aku nak bagi kau baca satu artikel yang aku baru buat nilah,” soalnya. Membiarkan aku dalam bingung.

“Malam ni?”

Suasana bingit gerai mamak yang diwarnai suara jerih manusia memesan hidangan serta warna lampu menerangi pekat malam di sebelah Sungai Jeluh langsung tidak membantutkan pegunku terhadap artikel di genggaman yang ditulis Wanie. Mata yang membulat hanya menangkap setiap isi karangan yang tertulis – mengenai pandangan serong Barat terhadap Penghijrahan Nabi Muhamad s.a.w. dahulu. Penulisannya cukup matang dan menarik. Bagaikan bukan ditulis oleh seorang remaja. Bibirku mulai terlopong. Kaget barangkali membayangkan taraf pemikiran Wanie yang cukup melangit. Langsung tidak sedar bahawa selama ni, aku mempunyai seorang kawan yang sebegini berbakat.

Selesai membaca dan menghadam minuman, aku dan Wanie berlalu pergi seraya menghayati bulan sabit yang menyinar di langit, sebaik sahaja meninggalkan ucap selamat kepada teman-teman lain yang kebetulan berada di teratak makan yang sama.

“Terima kasihlah sebab sudi baca artikel aku,” Wanie membuka bicara ketika gerai mamak yang kami duduki tadi semakin ditelan kejauhan. Aku hanya mengangguk-angguk. Demam aku terhadap artikelnya barangkali belum surut.

“Bila…?” tanyaku teragak-agak. “Bila kau mula menulis hah?”

“Dah lama dah. Masa tingkatan tiga lagi,” jelasnya lalu menendang seketul batu yang terletak di tengah laluan. “Tapi masa tu buat cerpen-cerpen bodoh je.”

“Ooo, I see. Bukan nak mengampulah tapi aku betul-betul kagum dengan tulisan kau,” aku memberi pujian. “Memang dahsyat!”

Wanie hanya tersipu-sipu. Mulutnya mengukir senyuman pabila menghayati kata-kataku tadi semula. Seketika, ia kian melebar.

“Rasanya, takde masalah waktu temuduga untuk majalah Listrik tu nanti,” kini, aku pula yang yakin.

“Ye ke?” soalnya semula, seolah-olah mahu aku terus memberi semangat.

“Haah!”

Sekonyong-konyongnya, terdapat bibit sunyi di antara kami berdua. Masing-masing melayani fikiran sendiri untuk beberapa tapak sebelum dia kembali bersuara,

“Addi,” aku memaling wajah padanya tanpa sebarang jangkaan. “Betul ke… kau dah putus dengan Ivanna?”

Derauan darah terasa di setiap liang urat. Samar-samar, wajah Ivanna yang pernah mencintaiku menyelit-nyelit di ruang celik. Kabur. Sebentar, wajah Wanie kembali mencipta sebuah pandangan.

Yup, kitorang dah putus dah,” kataku berbaur kesal – kesal dengan apa yang terjadi.
“Kiranya, korang dah tak bercouple lagi dah?” soalnya lagi. Meluru. Aku hanya mengangguk lesu.

“Jadi, dah habis dah,” ujarnya bagaikan kepada diri sendiri. “I see.”

Seketika kemudian, dia berhenti melangkah, membiarkan aku terbabas untuk beberapa tapak.

“Kalau begitu, apa salahnya kan?” soal dia dengan nada agak ceria. “Kau temankan aku.” Aku hanya terpaut di sidang kebingungan: apa maksud dia?

Bersambung...

Comments on "Projek Maya: Le Monde Bleu"

 

post a comment
>><$BlogItemCommentCount$> comments <$BlogItemControl$>

Comments on "<$BlogItemTitle$>"

 

<$BlogCommentAuthor$> said ... (<$BlogCommentDateTime$>) :<$BlogCommentDeleteIcon$>

<$BlogCommentBody$>

 

title="post a comment on '<$BlogItemTitle$>'">post a comment